Selasa, 20 November 2012

BMM 3117 : Teknik Pengajaran Bahasa


Teknik adalah satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian pengajaran tertentu (Mangantar Simanjuntak,1981:57)
 Teknik pengajaran merupakan ciri-ciri khusus yang ada pada sesuatu prosedur pengajaran seperti langkah-langkah pengajaran yang dilaksanakan, cara penyampaian bahan dan alat bantu mengajar. Teknik yang dipilih haruslah sejajar dengan kaedah yang digunakan dan seirama dengan pendekatan yang dianuti. Tujuan teknik- teknik ini digunakan dalam pengajaran bahasa adalah kerana untuk menarik minat murid, mengekalkan perhatian dan membangkitkan rasa ingin tahu murid.
 Antara teknik-teknik pengajaran bahasa ialah :

Teknik latih tubi
Teknik ini merupakan aktiviti pengulangan fakta-fakta yang dipelajari. Tujuannya adalah untuk mencapai taraf penguasaan kemahiran di samping menjamin ketekalannya. Teknik ini boleh digunakan untuk mencapai sesuatu kemahiran seperti kemahiran menyebut perkataan, ayat-ayat atau mengingat fakta-fakta penting. Melalui teknik ini pelajar akan mengalami proses mendengar, melihat, memikirkan maksud perkataan serta tugasnya dalam situasi yang menggunakan perkataan-perkataan itu. Teknik ini berasaskan kaedah pengajaran bahasa dengar dan sebut (audio lingual) yang biasanya digunakan dalam pengajaran bahasa kedua. Berdasarkan teknik ini, perhatian diberikan kepada lima aspek kebolehan menggunakan bahasa iaitu sebutan, tatabahasa, perbendaharaan kata, kefasihan, dan kefahaman.
Teknik ini dikenali juga dengan menghafaz. Antara pengalaman teknik ini ialah ia mengehadkan kebebasan berfikir dan menumpukan daya kreativiti murid. Namun begitu, teknik ini amat dan sesuai untuk isi kandungan pengajaran yang memerlukan ikutan dan ulangan.


            Teknik simulasi
Teknik simulasi boleh didefinisikan sebagai satu situasi yang diwujudkan hampir menyerupai keadaan sebenar yang memerlukan pelajar berinteraksi sesama sendiri berdasarkan peranan masing-masing bagi membuat keputusan menyelesaikan masalah, isu atau tugasan semula. Melalui teknik ini, pelajar akan dapat menggunakan kemahiran belajar seperti mengumpulkan maklumat, menjalankan temu ramah dengan individu tertentu dan mencatat isi penting. Dalam proses  ini, pelajar digalakkan untuk memberikan pendapat, cadangan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah berdasarkan peranan yang dipertanggungjawabkan. Teknik ini memberi pelajar peluang untuk mengalami sendiri situasi dan masalah. Terdapat pelbagai kemahiran yang dapat digabungjalinkan dan dipertingkatkan dalam teknik ini terutamanya kemahiran lisan, membaca dan menulis. Melalui teknik ini, pelbagai aktiviti menarik yang menjadi sumber motivasi kepada pelajar untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran dapat diwujudkan.

            Teknik main peranan
Main peranan boleh ditakrifkan sebagai melakonkan sesuatu situasi, masalah atau peristiwa yang dianggap penting. Pelajar diberi peranan dan bertindak sebagai watak-watak yang ditentukan dalam satu situasi yang disediakan. Main peranan ialah dramatisasi yang tidak memerlukan penghafalan skrip. Pelakon-pelakon perlu menyelesaikan atau menjelaskan situasi kepada pelajar-pelajar yang lain supaya mempraktikkan kepada diri mereka berdasarkan peranan yang dimainkan secara spontan. Proses ini biasanya dimulakan dengan pemikiran masalah yang sesuai. Masalah dikemukakan kepada pelajar dengan membacakannya atau memperlihatkan melalui filem, televisyen, mendengar rakaman dan sebagainya.

            Teknik sumbang saran
Teknik ini juga dikenali sebagai percambahan fikiran (brainstorming) yang merupakan satu sesi perbincangan yang membolehkan setiap ahli kumpulan menyumbangkan pendapat dan idea. Teknik ini boleh dimulakan dengan aktiviti permainan bahasa pada peringkat sekolah rendah dan berkembang menjadi aktiviti perbincangan yang lebih serius dan kompleks pada peringkat sekolah menengah, universiti, dan latihan profesional. Teknik sumbang saran ini menekankan pengeluaran idea daripada pembelajaran yang kreatif dan bukan pembelajaran secara bertulis.

             Teknik permainan bahasa
Permainan bahasa merupakan salah satu cara adalah mempelajari bahasa melalui teknik permainan. Penglibatan pelajar dalam permainan telah memberikan mereka peluang untuk memperoleh latihan intensif, pembelajaran bermakna dan sebagai alat diagnostik. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan akan menggunakan pelbagai kemahiran berbahasa pelajar seperti kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.
Permainan bahasa mempunyai hala tuju yang bertepatan dengan kemahuan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hala tuju ini di interpretasikan melalui objektif tersirat dalam permainan bahasa iaitu merangsang interaksi verbal pelajar, menambah kefasihan dan keyakinan, menyediakan konteks pembelajaran, bertindak sebagai alat yang dapat mengikis rasa bosan dan bertindak sebagai alat pemulihan, pengukuhan dan pengayaan.

      Teknik soal jawab
Teknik ini merupakan teknik yang paling lama dan popular dalam dunia pendidikan. Pemilihan teknik ini adalah kerana bentuknya yang mampu mewujudkan interaksi yang lebih berkesan antara guru dengan murid. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran yang memerlukan pelajar berfikir di samping dapat menguji dan menilai apa yang diajar dan pelajar dikehendaki memberikan tindak balas yang sewajarnya. Soalan yang terancang dan bermutu dapat menajamkan pemikiran pelajar serta dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan. Tujuan utama teknik soal jawab adalah untuk mengesan pengetahuan berbahasa murid, menggalakkan pelajar berfikir secara kritis, inovatif, logik dan kritis serta untuk mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar.

            Teknik bercerita
Teknik bercerita merupakan salah satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk membina kecekapan berbahasa kerana cerita merupakan sesuatu yang menarik minat dan perhatian pelajar. Melalui teknik ini, latihan pemahaman , perluasan perbendaharaan kata dan tatabahasa dapat disampaikan. Selain itu, penguasaan kemahiran berbahasa dalam kalangan murid dapat dipertingkatkan.
Perkembangan cerita hendaklah diberi perhatian agar ada peringkat permulaan, kemuncak dan kesudahan cerita. Perhatian perlu diberikan kepada teknik persembahan, suara, gerak laku dan kawalan mata. Suara memainkan peranan yang penting. Ia haruslah dikawal supaya tidak mendatar dan tidak menimbulkan kebosanan.

Langkah-langkah dalam persediaan teknik bercerita ialah guru perlulah memilih cerita-cerita yang sesuai dengan umur, kecerdasan dan minat murid serta sesuai dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan. Selepas itu guru perlu mengkaji cerita itu dan memasukkan aspek-aspek bahasa. seterusnya guru perlu menghafaz frasa atau ayat-ayat penting dan berlatih bercerita sekurang-kurangnya sekali sebelum menggunakan teknik ini. Langkah yang seterusnya ialah guru perlu bercerita dalam keadaan yang selesa. Guru boleh menggunakan gambar, objek sebenar atau lain-lain BBM. Akhir sekali guru perlu menyediakan kad-kad perkataan, frasa-frasa atau ayat-ayat yang berkaitan dengan aspek-aspek bahasa yang hendak disampaikan.

  Teknik drama
Teknik ini sering kali digunakan dalam kaedah komunikatif dan kaedah yang berasaskan pendekatan induktif iaitu kaedah terus, elektif dan audio lingual. Tujuan utama teknik ini adalah untuk melatih pelajar menggunakan unsur bahasa, unsur para linguistik (jeda, nada, intonasi) dan bukan linguistik (mimik muka, gerak tangan, kepala dan lain-lain) dengan berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan. Penggunaan teknik ini dapat mendorong dan merangsang pelajar untuk menghubungkan perasaannya dengan mata pelajaran yang dipelajarinya.

Melalui teknik ini pelajar bebas meluahkan sesuatu, membuat penemuan, memberi dan berkongsi sesuatu serta dapat menimbulkan keseronokan dan keberkesanan pembelajaran kepada pelajar, di samping dapat menyuburkan sahsiah pelajar. Teknik drama berperanan sebagai ragam pembelajaran iaitu sebagai salah satu alat bantu pengajaran dan pembelajaran.

            Teknik Inkuiri
Teknik ini dikenali sebagai teknik tinjau siasat. Teknik ini merangkumi aspek soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan yang berorientasikan masalah. Melalui teknik ini, daya refleksi dalam kalangan pelajar dapat ditimbulkan. Teknik ini merupakan satu kaedah pengajaran yang dinamik untuk menimbulkan minat dan daya kreativiti dalam kalangan pelajar kerana pelajar sering mengemukakan soalan ‘bagaimana’. Oleh itu, ia dapat melatih pelajar mengemukakan pelbagai soalan. Teknik ini dapat memberi latihan sebenar dalam proses kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Pengendalian teknik ini adalah proses mengenali masalah, mengkaji ramalan, mengumpul maklumat, menganalisis, dan membuat rumusan.

Teknik perbincangan
Teknik perbincangan boleh didefinisikan sebagai satu aktiviti mengeluarkan dan mengulas pendapat tentang sesuatu tajuk. Tujuan teknik ini adalah untuk melatih pelajar mengeluarkan fikiran dan pendapat dengan bernas (Kementerian Pendidikan 1990:85).
Teknik ini merupakan satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran berbentuk perbualan yang dilakukan dalam kalangan pelajar di bawah pemantauan seorang guru. Pelajar akan bekerjasama antara satu sama lain dalam melontarkan pandangan masing-masing mengenai sesuatu topik atau perkara yang diberi misalnya dalam mesyuarat, forum, seminar, bengkel, bahas dan debat. Melalui perbincangan, murid mempunyai peluang dan ruang untuk bercakap terutama ketika dalam aktiviti separa normal. Latihan ini bukan sahaja dapat menajamkan minda murid malah dapat melatih murid untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat.

Peranan guru akan sentiasa berubah-ubah kerana aktiviti ini dikendalikan oleh pelajar sendiri. Bagi menjalankan teknik ini, terlebih dahulu guru perlu menarik minat murid terhadap tajuk perbincangan yang akan dijalankan. Kemudian, guru membahagikan murid kepada beberapa kumpulan dan memilih seorang ketua yang boleh dipertanggungjawabkan untuk memastikan semua aspek perbincangan dapat dijalankan dan dicapai. Seterusnya guru menugaskan setiap kumpulan mendapatkan maklumat dengan cara berbincang dengan ahli – ahli kumpulan. Ketika proses perbincangan berlaku,guru harus bergerak dari satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain, menegaskan perkara-perkara yang perlu dibincangkan dan mengarahkan perbincangan menghala ke arah yang betul. Setelah tamat sesi perbincangan, guru boleh meminta laporan daripada setiap kumpulan. Hasil perbincangan boleh dicatat di papan tulis mengikut kepentingan. Setelah di bincang, guru bolehlah menjalankan aktiviti penulisan dan sebagainya.


Teknik forum
Forum merupakan satu sesi perbincangan yang melibatkan beberapa ahli panel untuk mencanai fikiran dan mengemukakan pendapat tentang sesuatu tajuk yang dilakukan secara formal. Teknik forum merupakan salah satu aktiviti lisan yang sesuai dijalankan kerana pelajar akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan secara langsung untuk meningkatkan kemahiran menyampaikan idea dan fikiran dengan jelas, objektif, kreatif dan rasional. Bagi menjalankan aktiviti ini, tajuk forum yang dipilih haruslah mudah, menarik dan mencabar selaras dengan kemahiran, pencapaian dan peringkat umur mereka. Teknik ini memerlukan persediaan yang rapi sebelum, semasa dan selepas aktiviti.


Teknik perbahasan
Teknik perbahasan sesuai diajar di semua peringkat pelajar di sekolah menengah. Bahas merupakan pengucapan sama ada menyokong atau membangkang sesuatu pendirian dengan alasan yang logik dan idea yang tersusun. Teknik ini mempunyai manfaatnya yang tersendiri. Antara manfaat penggunaan teknik ini ialah dapat memperkembangkan kecekapan berkomunikasi dengan berkesan, melatih murid berfikir dengan pantas dan melahirkan buah fikiran dengan tepat, teratur dan bernas, membolehkan murid menguasai kemahiran berbahasa dengan menggunakan struktur ayat yang betul dan laras bahasa yang sesuai.

Selain itu melalui teknik ini juga dapat melatih murid untuk mengemukakan hujah secara rasional, kritis dan membidas, melatih kemahiran mendengar, menaakul, berhujah dan membidas. Guru perlu mengambil inisiatif sendiri untuk memupuk kebolehan berbahas dalam kalangan pelajar. Perkembangan kebolehan berbahas dengan sendirinya dapat membantu perkembangan kemahiran berbahasa, perkembangan mental yang positif, peningkatan ilmu dan pemupukan sifat-sifat kepimpinan.

Teknik kuiz
Aktiviti kuiz merupakan aktiviti pertandingan yang meliputi pertandingan antara pelajar. Tujuan teknik ini diperkenalkan adalah kerana guru dapat mengukuhkan dan memantapkan pemahaman pelajar mengenai sesuatu topik. Selain itu, pelajar dapat mengulang kaji  sambil bergembira, dapat melupakan permasalahan mereka dengan mengemukakan soalan-soalan secara teka-teki. Pelajar juga dapat belajar kaedah berfikir yang baru serta dapat membantu pelajar memahami sistem Bahasa Melayu terutama dari segi bentuk, makna dan penggunaan bahasa yang tepat.
Terdapat dua bentuk pengajaran dan pembelajaran bahasa melalui teknik ini iaitu menjalankan teknik kuiz secara spontan pada peringkat permulaan, perkembangan dan penutup serta menjadikan kuiz sebagai aktiviti rangsangan, pengayaan, pemulihan dan pengukuhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan