Selasa, 20 November 2012

MODUL MANUAL KEMAHIRAN MEMBACA.




Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Sebenarnya, kemahiran membaca merupakan  lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Melalui pembacaan, seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperoleh menerusi pengalaman-pengalaman biasa yang lain. Membaca juga mampu memperluaskan pemikiran dan idea serta meningkatkan daya kreatif seseorang individu dalam pelbagai bidang.
Kebolehan membaca sangat penting bagi para pelajar sekolah kerana kebolehan membaca telah menjadi satu ukuran kejayaan di sekolah. Hal ini kerana kebolehan membaca dianggap sebagai asas bagi mencapai semua kejayaan dalam semua bidang, terutama dalam bidang pendidikan. Kemahiran membaca ditekankan pada peringkat awal lagi bersama kemahiran lain seperti mengira dan menulis. Kebolehan membaca bukan sahaja dianggap sebagai asas utama bagi mencapai kejayaan dalam bidang ekonomi dan sosial, malah sistem persekolahan itu sendiri menganggapnya sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.
Definisi membaca
Pada masa ini, terdapat pelbagai definisi tentang membaca.  Atan Long (1978) menyatakan proses membaca melibatkan kebolehan mengenal lambang-lambang dan menterjemah lambang-lambang itu semula kepada bunyi suara dan memahami makna dan tanggapan yang disampaikan oleh tulisan itu manakala bagi Zulkifley (1994), kemahiran membaca tidak dimiliki oleh seseorang pelajar melainkan beliau mampu melakukan proses-proses:mengenali dan membezakan fonem-fonem yang terdapat dalam sesuatu bahasa, menggabungkan simbol-simbol fonem untuk membentuk perkataan dan memindahkan lambang-lambang yang dibacanya itu kepada sistem saraf untuk diterjemahkan dan difahami apa yang dibaca.
Bagi Smith dan Johnson (1980) pula, membaca berteraskan keinginan mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis dengan tanggapan yang dibuat oleh pembaca. Di samping itu, Kamarudin Haji Husin (1988) pula menyatakan seseorang murid yang boleh memindahkan tulisan kepada kepada suara, walau bagaimana lancar sekalipun, jika tidak memahami apa yang disuarakan maka murid-murid itu tidak bolehlah dianggap pandai membaca.
Oleh yang demikian, kesimpulannya seseorang yang boleh membaca tetapi tidak memahami isi bacaan dan tidak mampu untuk menterjemahkannya secara tepat dan betul sama ada secara lisan atau bertulis bolehlah dikategorikan sebagai tidak pandai membaca. Hal ini merupakan perkara yang penting bagi para pelajar kerana kemahiran membaca ini mampu membantu mereka bukan sahaja dalam pelajaran tetapi dalam kehidupan sebenar mereka juga.
Proses membaca
Dalam membaca, terdapat lima proses membaca. Pertama, mengecam dan mengenal lambang atau perkataan yang dilihat. Sebelum para murid boleh membaca, para guru perlu mengenalkan kepada para murid  dengan lambang-lambang huruf dan mengaitkannya dengan bunyi dan makna. Selepas itu, para guru perlu mengajar murid untuk menterjemahkan makna perkataan dan mengaitkan makna perkataan itu dengan pengetahuan sedia ada mereka. Hal ini bagi memudahkan para murid untuk mengingati dan memahami makna lamban-lambang huruf tersebut. Kemudian para guru perlu mengajar murid untuk mengumpul dan mencantumkan idea, perkataan dan ayat menjadi sesuatu idea yang lengkap. Akhir sekali murid perlu diajar untuk menghuraikan atau menjelaskan idea yang didapati kepada diri sendiri atau kepada orang lain.
Tahap – tahap kemahiran membaca.
Kemahiran membaca merupakan keupayaan murid untuk membaca petikan, perkataan, frasa dan ayat dengan lancar serta menggunakan sebutan, intonasi dan jeda yang betul. Kemahiran membaca lebih menekankan aspek pemahaman dan penaakulan (penghayatan) daripada pelbagai bahan bacaan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca.
            Membaca memerlukan satu tingkat berfikir yang tinggi dan komunikasi mesej atau makna serta sedutan makna. Membaca merupakan proses kognitif, iaitu berfikir melalui bahan bercetak. Proses menguasai bacaan melibatkan tahap penguasaan yang berbeza-beza. Pada setiap aras penguasaan mencerminkan tahap penguasaan pembacaan bagi individu tersebut. Pada setiap tahap penguasaan bacaan ini terdapat beberapa kaedah yang boleh diaplikasikan oleh pembaca. Setiap tahap boleh disimpulkan seperti berikut:

(a) Kaedah Abjad (Tahap prabacaan)
Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah huruf atau kaedah mengeja dan merupakan kaedah tradisional yang digunakan oleh guru untuk mengajar bacaan. Kanak-kanak dikehendaki mengenali nama, bentuk dan mengecam huruf abjad.

(b) Kaedah Fonik (Tahap bacaan mekanis)
Kaedah ini lebih menekankan amalan membuat latih tubi tentang penyebutan bunyi huruf, suku kata, frasa, ayat-ayat dan kurang memberi tumpuan kepada
nama huruf. Kanak-kanak dilatih menyebut huruf secara terasing dan kemudiannya menggabungkan dengan bunyi huruf-huruf lain untuk membentuk
suku kata dan perkataan. Contoh lambang ‘b’ bukannya ‘bi’ tetapi disebut sebagai ‘beh’, ‘a’ disebut ‘ah’ dan begitulah seterusnya. Kaedah fonik ini sesuai diajar kepada kanak-kanak kerana bahasa Melayu terdiri daripada suku kata yang hampir tetap bunyinya. Amalan ini akan membolehkan mereka yang baru belajar membaca melakukan latihan sebutan perkataan-perkataan baru.

(c) Kaedah Seluruh Perkataan (Tahap bacaan dan kefahaman)
Kaedah ini juga dikenali dengan ‘kaedah perkataan’, ‘kaedah rangkai kata’, dan ‘kaedah ayat’. Kaedah ini lebih menumpukan kepada menyebut keseluruhan perkataan dengan bantuan gambar untuk merujuk kepada menyebut keseluruhan perkataan dengan bantuan gambar untuk merujuk benda yang dipamerkan itu. Kanak-kanak dilatih melakukan dua kemahiran di dalam satu masa, iaitu menyebutkan keseluruhan perkataan dan melakukan pengesanan terhadap rangsangan berbentuk gambar. Berbantukan gambar yang dilabelkan
berhampiran dengan perkataan tersebut kanak-kanak boleh menyebut perkataan
untuk mewakili maksud yang terdapat di atas gambar tersebut.
Faktor-faktor Yang Berkaitan Dengan Membaca.
Kesediaan Membaca
            Kesediaan membaca bermaksud kemampuan seseorang murid untuk membaca adalah merujuk kepada kesediaan mereka untuk menerima pengajaran dan pembelajaran dari segi mental, emosi dan fizikal.  Hal ini melibatkan pelbagai aktiviti sebelum sesuatu peringkat bacaan dimulakan seperti proses mendirikan asas dan  mengukuhkan asas sebelum murid diperkenalkan peringkat-peringkat yang lebih tinggi dalam bacaan. Bagi kanak-kanak yang belum didedahkan dengan aktiviti-aktiviti bacaan, pada kebiasaannya kesediaan membaca yang akan mereka lalui merangkumi kebolehan fizikal, emosi dan mentalnya.
            Dari segi fizikal, kemampuan murid boleh dilihat dari tiga sudut. Pertama, keupayaan alat-alat sebutannya (artikulasi) dalam menghasilkan bunyi-bunyi yang diajarkan oleh guru. Kedua, keupayaan matanya mengecam bentuk dan akhir sekali  keupayaan pendengarannya mengecam pelbagai bunyi-bunyi. Dari segi emosi pula, kemampuan mereka dapat dilihat dari dua aspek, iaitu dari minatnya terhadap bahan-bahan bacaan berkenaan  dan minatnya untuk mendengar bahan bacaan terutamanya dalam bentuk cerita. Dari segi mentalnya pula, para guru boleh melihat kemampuan murid dari dua aspek berikut. Pertama, keupayaan mengingat kembali maklumat yang didengar dan kebolehan mengeluarkan maklumat yang diketahuinya.
            Sebenarnya, kebolehan membaca kanak-kanak wujud sekiranya kanak-kanak itu memahami dan bertindak secara bersesuaian apabila melihat perkataan-perkataan yang ditulis. Maksudnya kanak-kanak mesti berkeupayaan memahami konsep iaitu:

(1) semua “benda” mempunyai nama
(2) nama benda boleh ditulis dalam perkataan
(3) kedua-duanya saling bertukar
(4)simbol-simbol perkataan boleh dibaca (Mechado, 1985).

            Kanak-kanak juga boleh cepat membaca sekiranya mereka hidup dalam persekitaran yang intelektual yang sentiasa berfaedah dengan tulisan seperti buku, surat khabar, dan sebagainya. Kanak-kanak yang sentiasa terdedah dengan pelbagai jenis bacaan sejak lahir, sentiasa melihat orang di sekeliling membaca dan ada pula orang yang membacakan buku cerita untuknya akan lebih cepat bersedia membaca berbanding dengan kanak-kanak seusianya yang tidak diberikan peluang yang sama.

Faktor-faktor yang mempengaruhi kesediaan membaca
Antara faktor-faktor yang mempengaruhi kesediaan membaca kanak-kanak adalah seperti berikut:

i. Keadaan fizikal
ii. Pengalaman dan persekitaran
iii.Emosi, motivasi, dan sahsiah
iv.Kecerdasan dan perkembangan kognitif
v. Pengamatan
vi. Penguasaan bahasa

            Keadaan fizikal merujuk kepada keadaan mata, telinga, dan organ pertuturan yang sempurna. Mengikut kajian, dari segi  jantina kanak-kanak perempuan lebih cepat menguasai kemahiran membaca daripada kanak-kanak lelaki.
            Persekitaran yang intelektual yang memberi pengalaman-pengalaman bermakna akan dapat merangsang otak dan menimbulkan minat membaca. Kanak-kanak yang sentiasa terdedah dengan pelbagai jenis bacaan sejak lahir, sentiasa melihat orang di sekeliling membaca dan selalu dibacakan buku sebelum masuk tidur oleh ibubapanya cenderung untuk membaca berbanding dengan rakan seusianya. Faktor persekitaran inilah yang akan menjadi motivasi untuk dirinya.
Kecerdasan dan perkembangan kognitif kanak-kanak sangat mempengaruhi kemahiran membaca kanak-kanak. Kanak-kanak yang cerdas akan dapat menguasai kemahiran membaca dengan lebih cepat berbanding dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.
            Kemahiran membaca memerlukan keupayaan pengamatan yang kuat, iaitu daya diskriminasi penglihatan dan diskriminasi pendengaran. Semasa membaca kanak-kanak perlu membezakan jenis  huruf serta perlu untuk mengenal  bunyi-bunyi huruf tersebut.
            Kanak-kanak yang menguasai bahasa dengan baik akan dapat belajar kemahiran membaca dengan cepat dan dapat membaca dengan baik kerana bahasa adalah alat manusia melahirkan fikiran, perasaan, kehendak dan sebagainya semasa berkomunikasi.
            Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dan juga guru untuk memastikan kanak-kanak sudah mempunyai kesediaan membaca yang mencukupi sebelum mula mengajar kemahiran membaca kepada kanak-kanak.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan