Selasa, 20 November 2012

Pengenalan Mengenai Puisi




PENDAHULUAN

Puisi ialah bentuk pengucapan yang berirama, dilahirkan melalui tanggapan yang penuh imaginatif dari seseorang penulis atau penyair.

Terdapat ratusan definisi puisi. Antaranya ialah:

Edger Allan Poe:
Puisi sebagai ciptaan tentang sesuatu keindahan dalam bentuk berirama. Citarasa adalah unsur yang diutamakan.

Edwin Arlington Robinson:
Puisi adalah bahasa yang menyampaikan sesuatu melalui reaksi emosi, sesuatu yang sukar hendak dinyatakan.

Dante:
Puisi ialah perkara-perkara benar yang diucapkan dalam bahasa yang indah.

T. S. Eliot:
Puisi itu bukan penegasan tentang sesuatu kebenaran, tetapi ialah untuk menjadikan kebenaran itu lebih nyata kepada kita.

Percy Byssche Shelley:
Puisi adalah rakaman dari saat-saat yang paling baik dan paling menyenangkan dari fikiran-fikiran yang paling baik dan paling menyenangkan.



MENDEKATI PUISI
v   Aspek dasar puisi tradisional dan puisi moden (sajak) merangkumi medan makna (isi) dan medan kata (bahasa) dan medan rasa (teknik).

1.      Medan Makna (Isi)
Medan makna merujuk kepada perkara yang membantu menjelaskan
gambaran idea penyair atau isi sesebuah puisi.
  
(a)     Maksud
·         Maksud tersurat (maksud selapis)
·         Maksud tersirat (maksud dua lapis)

(b)    Tema
·         Persoalan pokok sesebuah puisi
·         Jenis-jenis tema
 -    masyarakat/sosial
 -    agama
 -    keluarga
 -    diri (peribadi)
 -    patriotik
 -    alam

(c)     Persoalan
Persoalan-persoalan sampingan dalam puisi.
     
(d)    Perutusan/Amanat/Mesej/Pengajaran
Gagasan nilai yang hendak disampaikan oleh pengarang.

(e)     Nilai kemanusiaan / Nilai murni / Nilai Moral
Dalam KBSM, ada 16 nilai murni, iaitu :
·         baik hati
·         berdikari
·         hemah tinggi
·         hormat-menghormati
·         kasih-sayang
·         keadilan
·         kebebasan
·         keberanian
·         kebersihan fizikal dan mental
·         kejujuran
·         kerajinan
·         kerjasama
·         kesederhanaan
·         kesyukuran
·         rasional
·         semangat bermasyarakat

(f)     Perasaan dan sikap penyair
·         Dalam puisi pastinya ada perasaan penyair.
·         Perasaan penyair dalam puisi itulah yang menentukan mood sesebuah puisi; sama ada – romantik, melankolik, sinis, protes ataupun patriotik.
·         Sikap penyair pula ialah pendirian penyair terhadap sesuatu isu, sama ada menyokong, memprotes ataupun berkecuali.

                 (g)     Latar belakang penyair

·         Seorang penyair biasanya memindahkan pengalamannya ke dalam hasil karyanya.
·         Mengenali latar belakang penyair akan banyak membantu kita mengenal karya yang dihasilkannya.

2.      Medan Kata (Bahasa)
                Ciri khusus bahasa puisi, terutamanya sajak ialah
§  Konotatif
§  ambiguiti
   
v  Aspek medan kata (bahasa) ini meliputi – diksi, imej (citra), perlambangan (simbol), bahasa perbandingan (simile, metafora, hiperbola), unsur bunyi (asonansi,aliterasi, rima, jeda dan kombinasi bunyi), personifikasi, inversi sikof, anafora dan epifora.

3.      Medan Rasa (Teknik)
 Ini merupakan aspek yang berkaitan dengan teknik penciptaan puisi, terutama     aspek struktur binaan (bentuknya) yang meliputi
(i)      Bentuk terikat, bentuk bebas atau bentuk eksperimen.
(ii)     Sukatan suku kata dan kata dalam baris ataupun baris di dalam rangkap.
(iii)    Unsur visual dalam puisi.


CABANG-CABANG PUISI

Puisi secara keseluruhannya ialah pengucapan berirama. Dalam kesusasteraan Melayu, puisi terbahagi kepada dua golongan besar, iaitu:

·         Puisi Tradisional atau Puisi Lama
·         Puisi Moden.


                                                PUISI TRADISIONAL


1.      Definisi Puisi Tradisional
Puisi tradisional merujuk kepada susunan perkataan dalam bentuk karangan berangkap (Za’ba, 1962) atau  suatu bentuk pengucapan dalam susunan yang istimewa berbanding dengan pengucapan biasa seperti yang digunakan dalam pertuturan sehari-hari serta  bahasa yang mementingkan kebenaran daya intelektual dan logika (Harun Mat Piah, 1989:2). Bentuk, pemikiran dan fungsi puisi Melayu tradisional masih dikekalkan oleh masyarakat seperti keadaan tradisionalnya. Puisi tradisional juga dikenali sebagai puisi lisan yang berkembang dalam kesenian rakyat. Setengah-setengah bentuk puisi tradisional seperti mantera dan teromba mengandungi unsur ritual dan bersifat magis.

2.      Ciri-ciri Puisi Tradisional
               Pada umumnya, puisi tradisional mempunyai ciri-ciri berikut :
i)      Memperlihatkan penggunaan bahasa yang lebih baik, ekspresif, kental, mengandungi nilai keindahan serta menimbulkan rangsangan dan kesan kepada pengalaman dan perasaan.
ii)     Mempunyai bentuk tertentu, berkerat-kerat atau berurutan dalam baris yang sejajar.
iii)    Ungkapan kata dan bahasa dipengaruhi unsur muzik, lagu, intonasi, kadensa, rentak, irama dan keharmonian bunyi.
iv)   Baris, rima dan irama disusun membentuk pola atau ikatan tertentu yang dipengaruhi jumlah baris, jumlah perkataan, perseimbangan bunyi dan panjang-pendek perkataan.
v)    Wujud pembahagian unit dalam menyatakan idea, misalnya dua baris serangkap atau beberapa baris seuntai.
vi)   Bersifat lisan, diwarisi dan disebarkan melalui tradisi lisan dengan fungsi kolektif kehidupan masyarakat tradisional.
vii)  Binaannya terikat oleh aturan tertentu yang memberikan bentuk dan strukturnya.
viii) Digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat untuk hiburan, keramaian, ritual, keagamaan, pengajaran dan sebagainya.
ix)   Ada puisi yang dianggap suci dan berhubung rapat dengan sistem kepercayaan dan menjadi taboo bagi masyarakat tertentu misalnya ungkapan adat pepatih.
x)    Bahasa yang padat kental mengandungi unsur perlambangan, imajan, kiasan dan perbandingan yang bersifat tradisional untuk menyatakan sesuatu dan melahirkan perasaan hati.

3.      Jenis-jenis Puisi Tradisional

               Puisi tradisional terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya :

·         Pantun
·         Syair
·         Gurindam
·         Seloka
·         Lagu rakyat
·         Nazam

3.1    Pantun

Pantun ialah sejenis puisi Melayu tradisional yang digunakan untuk menyampaikan perasaan dan fikiran yang gembira, sedih, rindu, marah dan sebagainya. Mengikut kajian (Muhammad Hj. Salleh, 2000 : 56) asal kata pantun mungkin berdasarkan kata toen, tuntun, tonton, tuntun, atuntun, matuntun, panton, pantun yang digunakan dalam pelbagai bahasa di Nusantara. Maksudnya merujuk kepada ‘sesuatu pengucapan dengan bahasa yang teratur, tersusun dan indah atau peri laku yang terpimpin, terdidik, bersopan dan bertatasulisa’. Dalam kesusasteraan Melayu istilah pantun  atau sepantun asalnya dipakai dengan makna  ‘umpama, seperti, sebagai, laksana, bak’  yakni merujuk kepada perbandingan atau kiasan. Contohnya ‘tuan sepantun kilat cermin, di balik gunung nampak juga’.

3.1.1       Ciri-ciri Pantun:
                                       Pantun mempunyai beberapa ciri, antaranya :
a)   Rangkapnya berasingan dan boleh berdiri sendiri sebagai satu kesatuan idea.
b)   Rangkapnya terbina daripada baris atau kerat yang berpasangan      misalnya dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan    seterusnya. Namun pantun yang popular dan terus berkembang         adalah pantun empat kerat dan dua kerat.
c)  Jumlah perkataan setiap baris sekitar tiga hingga lima patah perkataan.
d)  Jumlah suku kata dalam setiap baris sekitar lapan hingga dua belas suku kata.
e) Skima rima di tengah dan / atau di hujung baris adalah berjajar berselangan iaitu ab;ab. Ada juga skima rima yang sama, iaitu aa;aa .
f)    Struktur pantun terdiri daripada dua unit iaitu pembayang (yang menjadi       kiasan) dan maksud (yang menjadi inti persoalan) yang hendak     disampaikan. Pembayang adalah adalah gambaran alam dan maksud     adalah gambaran sifat dan sikap manusia.
g)   Setiap rangkap memiliki kesatuan idea yang lengkap.
h)   Pemilihan perkataan merujuk kepada lambang yang sesuai dengan norma, nilai dan tanggapan masyarakat setempat.
i)    Pantun yang baik mempunyai hubungan idea dan wacana antara unit pembayang dan unit maksud.

3.1.2       Jenis Pantun
Pantun terbahagi kepada beberapa jenis berdasarkan:

(i)    Bentuk
Berdasarkan bentuk, pantun diklasifikasikan kepada:
a)   Pantun dua kerat
      Contoh:
Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.                       
(Sehijau Warna Daun, hlm. 3)
b)    Pantun Empat kerat
      Contoh:

Tenang tenang air di laut,

Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi sedikit rasa nak junjung.                
(Sehijau Warna Daun, hlm. 4)

c)    Pantun Enam Kerat
      Contoh:
Penakik pisau raut,
Ambil galah sebatang lintabung,
Seludang dijadikan nyiru;
Setititk dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terbentang dijadikan guru.                         
                                    (Kerusi, hlm. 3)

d)    Pantun Lapan Kerat
      Contoh:
Sarang merbah di celah dahan,
Tempat punai bermain di situ,
Berkejar-kejaran anak rusa,
Tampak dari tanah seberang;
Bersyukur aku kepada tuhan,
Kalau nasib memang begitu,
Akan merana sepanjang masa,
Harap pada kasihan orang.         
(Kerusi, hlm. 4)
                                       (ii)     Isi

Berdasarkan isi, (tema dan persoalan) pantun dibahagikan kepada:
a)    Pantun budi
         Contoh:
Pulau pandan jauh ke tengah,

                                                                  Gunung daik bercabang tiga;

Hancur badan dikandung tanah,
      Budi baik dikenang juga.                        
 (Sehijau Warna Daun, hlm. 4)
b)    Pantun kanak-kanak
         Contoh:
Jangan gergaji pokok talas,
Nanti lesung dimakan pahat;
Jangan menjadi orang malas,
Perut kosong badan tak sihat.               
 (Sehiijau Warna Daun, hlm. 5)
 
c)    Pantun perpisahan
         Contoh:
Hari ini menugal jagung,
Hari esok menugal jelai;
Hari ini kita berkampung,
Hari esok kita bercerai.                
 (Seuntai Kata Untuk Dirasa, hlm. 4)
d)    Pantun hiburan
Contoh:
Dari Melaka pergi ke Pahang,
Singgah di Johor beli berangan;
Kami mengucap selamat datang,
Apa yang kurang dikeji jangan.
 (Seuntai Kata Untuk Dirasa, hlm. 6)
e)    Pantun teka-teki
Contoh:
Tanam pisang sulung tahun,
Malam-malam tanak nasi;
Dalam batang ada daun,
Dalam daun ada isi?       
 (Seuntai Kata Untuk Dirasa, hlm. 7)
f)     Pantun nasib
Contoh:

Seri Mersing lagu Melayu,

                                                                  Mari dikarang zaman dahulu;
Duduk termenung menongkat dagu,
                                                                  Mengenang nasib dagang piatu.              
 (Anak Bumi Tercinta, hlm. 4)
 
g)    Pantun peribahasa
Contoh:
Buat bangsal di Pulau Daik,
Menahan taut sambil mengilau;
Kalau asal benih yang baik,
Jatuh ke laut menjadi pulau.       
 (Anak Bumi Tercinta, hlm. 5)
h)    Pantun kiasan
Contoh:
Tebang gelam tebang kenanga,
Batang tumbuh menimpa gedung;
Kumbang mengidam nak seri bunga,
Bunga kembang di puncak gunung.              
(Anak Laut, hlm. 4)

3.2 Syair
Syair merupakan bentuk puisi tradisional ciptaan dan kepunyaan orang Melayu yang mendapat pengaruh Arab dan Parsi. Kata syair berasal daripada istilah Arab sh’ir  yang bererti puisi dan sha’r  yang bererti penyair, pengarang, penyajak. Istilah ini berkembang dalam berbagai bahasa Nusantara seperti sa’e, saiyo, sair, singir  dan syair. Dalam puisi Melayu tradisional, bentuk syair dipercayai diperkenalkan dan dikembangkan oleh Hamzah Fansuri (Syair Burung Pungguk, Syair Perahu) sekitar abad ke 16 dengan tujuan mengajarkan agama Islam.


3.2.1       Ciri-ciri Syair
Syair mempunyai beberapa ciri, antaranya:
i)    Empat baris serangkap.
ii)  Jumlah perkataan dalam setiap baris sekitar tiga hingga lima patah     perkataan. Jumlah suku kata bagi setiap baris sekitar lapan hingga dua          belas suku.
iii)  Skima rima hujungnya sama, iaitu aa;aa.
iv)  Keempat-empat baris adalah kesatuan idea namun rangkap berkenaan        tidak dapat berdiri sendiri.
v)   Dalam satu baris terdapat satu hentian yang ditandai dengan jeda.
vi)  Serangkap syair akan diikuti rangkap seterusnya untuk membawa satu        kesatuan yang lengkap sebagai satu cerita atau pemerian peristiwa.
vii) Isi syair umumnya merupakan cerita atau pemerian yang panjang sama       ada mengenai kisah percintaan, keagamaan, falsafah, pengajaran dan          sebagainya.
Contoh syair :
Assalamualaikum saya ucapkan,
Selamat sejahtera handai dan taulan
Sebuah syair saya sajikan
      Bersama-asama kita menungkan.                                           
 (Kerusi, hlm. 5)

3.2.2       Jenis Syair
Pada umumnya, jenis syair adalah berdasarkan isi, tema, pemikiran, persoalan atau mesej yang hendak disampaikan. Contohnya seperti berikut :
i)    Syair cerita
Contoh:  Syair Badrul Zaman, Syair Ken Tambuhan, Syair Nur Alam Shah Lela Putera, Syair Yatim Nestapa, Syair Pembunuhan Angreni, Syair Dandan Setia Intan Terpilih

ii)   Syair nasihat
      Contoh:  Syair Menyambut Pelajaran, Syair Mungkir Janji,                                                              Syair Pesanan Ibu
iii)    Syair semangat patriotik
      Contoh:  Syair Tenaga Pemuda
iv)   Syair alam sekitar 
      Contoh:  Syair Cintai Alam Sekitar
v)    Syair kiasan
      Contoh:  Syair Jong Pecah
vi)  Syair ilmu
      Contoh:  Syair Kelebihan Ilmu
                                   
                                    Contoh Syair: Petikan daripada Syair Bidasari
Tersebutlah perkataan Bidasari,
Setelah malam sudahlah hari,                                (Lagu Selendang Delima)
Bangunlah ia seorang diri,
Makan dan minum barang yang digemari.

Pergilah mandi Siti Bangsawan,
Serta memakai bau-bauan,                                    (Lagu Rakis)
Lalu masuk ke dalam peraduan,
Santap sirih di dalam puan.

Bertemu sepah bekas dimakan,
Diambil Siti dicampakkan,
Dengan takutnya ia berfikirkan,                             (Lagu Rakis)
Siapakah ini yang membuatkan.

Jikalau manusia yang empunya,
Nescaya aku dicabulinya,
Jika ayahku dating adalah tandanya,                     (Lagu Siti Zubaidah)
Bertambahlah makanan yang dibawanya.


Dilihatnya Siti tempat tidurnya,
Tilam sedikit tersingkir alasnya,
Sirih di puan salah aturannya,                                (Lagu Siti Zubaidah)
Bidasari masygul dengan takutnya.

Ia pun duduk di atas geta,
Sangatlah gundah rasanya cita,
Seraya bertaburan air mata,                                  (Lagu Selendang Delima)
Manakah tempat ia hendak dikata

( Syair Bidasari, hlm. 715-717, 721-722)

3.3    Gurindam

Gurindam sebagai satu bentuk puisi Melayu tradisional sepertimana dikenali sekarang diperkenalkan oleh Raja Ali Haji melalui ‘Gurindam Dua Belas” yang dikarang pada tahun 1846. Bentuk gurindam adalah terikat, yakni terdiri daripada dua  baris serangkap mengandungi tiga hingga enam patah perkataan dengan skima rima a;a. Seuntai gurindam memerlukan beberapa rangkap untuk melengkapkan keseluruhan idea. Bahasanya bernas dan serius. Isinya mengandungi nasihat, pengajaran,  kebenaran serta pernyataan perasaan cinta.

 

 

3.3.1    Ciri-ciri Gurindam

Gurindam mempunyai beberapa ciri, seperti berikut :
i)       Dua baris serangkap
                                    ii)      Empat hingga enam patah perkataan / 8 – 12 suku kata sebaris.
Contoh :
Apabila terpelihara mata,
Sedikit cita-cita.

Bersungguh-sungguh engkau memelihara tangan,
Daripada segala berat dan ringan.                  
(Kerusi, hlm. 8)

            iii)     Jumlah rangkap dalam seuntai gurindam tidak ditentukan.
            iv)     Skima rima hujung bercorak serima iaitu a;a.
v)      Ada kalanya wujud unsur asonansi dan aliterasi pada perkataan dalam baris. 
vi)     Rangkapnya terbahagi kepada unit syarat atau induk kalimat (baris pertama) dan jawab atau  anak kalimat (baris kedua)
vii)    Umumnya mengandungi pernyataan yang serius terutama untuk memberi pengajaran atau menyatakan perasaan cinta.

                        Contoh Gurindam:
Contoh 1
Semenjak tenang semakin gundah
Semarak hilang ingin bermadah.

Kubawa maksud bagai diperi
Moga tersambut gemalai hati.

Sumber : Noraniza Idris CD Masyhur
Contoh 2
Siti Muhsinat digelar hamba
Memohon restu berhujan emas.


Hilang dahaga fakir di desa
Bertiang seri tegak berlima.

Wahai saudara orang berada
Titiskanlah rahim yatim terlupa

Ayah yang mangkat di perbatasan
Untuk yang lain bermimpi madu

Sumber : Alina Hassan, Teater Tiang Seri Tegak Berlima

Dalam beberapa teks tradisonal, istilah gurindam, syair, pantun dan seloka seringkali diguna pakai oleh tukang cerita atau penyalin teks secara agak bebas. Hal ini menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat umum, kerana ‘nama’ puisi yang ditutur atau dinukilkan berbeza dengan penjenisan puisi yang dilakukan para sarjana, terutama untuk kajian dan rujukan pelajar serta penyelidik. Misalnya :
“Maka adapun negeri itu baharu dibuka oleh baginda; adalah seperti gurindam orang dahulukala: ”

Awak tua bandar terbuka,
Emas habis, dagangan mudah,
Kerbau kambing sesak di padang,
Itik angsa tenang di kuala,
Merpati lindungan langit,
Rengkiang tujuh sejanjar;
Taman dengan sekerat kota,
Emas perak penuh di rumah,
Tangga rumah emas bertuang,
Ibu tangga emas bertitik,
Batuan sawa mengulur;
Penuh sesak hamba sahaya,
Ada yang empat senama,
Ada yang lima senama,
Dilaung di rumah di tanah menyahut,
Dilaung di tanah di rumah menyahut.         
(Hikayat Malim Deman, hlm. 2)

3.4    Seloka
Istilah seloka berasal daripada perkataan Sanskrit shloka. Dalam bahasa Melayu, seloka bererti berseloroh, berjenaka atau menyindir. Seloka merupakan puisi yang paling tua dalam kesusasteraan Melayu. Seloka dipercayai datang ke alam Melayu bersama-sama  perkembangan agama Hindu di Asia Tenggara. Teks Mahabharata (100,000 rangkap) dan Ramayana (24,000 rangkap) merupakan buku terawal yang tertulis dalam bentuk seloka (Harun Mat Piah, 1989, hlm. 334)

Sebagai puisi tradisional, karangan berangkap atau bahasa berirama, seloka lebih merupakan pepatah, bidalan atau perumpamaan yang mengandungi unsur jenaka, gurau senda, olokan, ejekan dan sindiran. Walaupun seloka merupakan puisi yang bercorak senda gurau namun isinya mengandungi sindiran yang menjadi pengajaran dan teladan kepada pembaca. Kebanyakan seloka Melayu ditulis dalam bentuk terikat yakni empat baris serangkap dengan memakai bentuk pantun atau syair. Selain itu seloka juga ditulis dalam bentuk bebas iaitu setiap barisnya menjadi isi puisi berkenaan.

3.4.1    Ciri-ciri Seloka
Seloka mempunyai beberapa ciri seperti berikut :
i)       Karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi rima hujung yang bebas.
ii)      Terbahagi kepada unit pembayang (induk kalimat) dan unit maksud (anak kalimat)
iii)      Perkataan sindiran atau ejekan disampaikan dalam bentuk berangkap.
iv)     Mengandungi unsur jenaka atau gurau senda
v)      Digunakan untuk menyindir sambil mengajar.
                       
                        3.4.2 Jenis Seloka
Seloka dijeniskan berdasarkan bentuk iaitu:
i)       Seloka berbentuk bebas
         Contoh:

Aduhai malang Pak Kaduk

Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan

Awak pulang kebuluran

Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang;
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk.                                  
 (Anak Laut, hlm. 9)
            ii)      Seloka berbentuk terikat.
Contoh:
Buah pinang buah belimbing,
Ketiga dengan si buah mangga;
Sungguh senang berbini sumbing,
Walau marah ketawa juga.                
(Warisan Puisi Melayu, hlm. 67)
Anak agam jual sutera,
Jual di rengat tengah pekan;
Jangan digenggam bagai bara,
Terasa hangat dilepaskan.            
(Tanah Airku, hlm. 27)
Anak dara dua sepasang,
Pakai baju pakai kerongsang;
Sebiji nangka sebiji pisang,
Belum tahu rezeki musang.           
(Tanah Airku, hlm. 27)

3.5    Nazam
Nazam adalah puisi tradisional pengaruh Arab-Parsi. Rujukan sebagai istilah teknik kepada suatu bentuk puisi Melayu tradisional  digunakan dalam Tajus Salatin, karangan Bokhari al-Jauhari pada tahun 1603. Penyebarannya agak meluas di Pahang, Terengganu, Perak, Johor dan Melaka. Antara karya nazam yang berpengaruh dan luas sebarannya ialah Kitab Kanz al-‘Ula, karangan Al-Syed Muhammad bin Syed Zainal Abidin al-Idrus (Tuk Engku Tuan Besar Terengganu), tercetak pada tahun 1931. Secara umumnya nazam digunakan untuk mengembangkan ajaran Islam; oleh itu isinya bersangkutan dengan pengajaran fiqah, tasauf, cerita-cerita Nabi, kebesaran Allah, di samping mengupas sikap dan sifat nilai murni muslimin sejati.

 

3.5.1    Bentuk dan struktur

i)       Dua baris serangkap.
         Contoh :
Aku mula nazam ini dengan nama
Allah yang memberi fahamkan agama.
(Harun Mat Piah, hlm. 286)

ii)         Skema rima hujung tidak mempunyai pola tertentu ; ada yang serima a,a,a,a dan ada yang tidak serima aa, aa / aa, bb, / ab, bc, cd dan seterusnya.
         Contoh :
Lagi pesankan pula dengan beberapa petua   (a)
Dengan dibaca dia dengan lidah yang mulia. (a)

Allah jua dipuji dengan lidah dan hati                         (a)
Atas nikmatnya atasku dan lain ku pula.                    (b)
(Harun Mat Piah, hlm. 295)

iii)        Secara umumnya terbina dengan 5-6 patah perkataan / 10-12 suku kata sebaris (namun jumlahnya tidak tetap). Paling sempurna 6 patah perkataan sebaris.
         Contoh :
Dengan salam atas kami hai muslimim                      (6)
Dengan bahagia nyawa kamu hai mukminin               (6)
(Harun Mat Piah, hlm. 296)

iv)       Ada nazam yang dibina dengan cara mengulang baris (misalnya baris pertama digunakan secara berulangan bagi membentuk rangkap ke-2, ke-3 dan seterusnya).
         Contoh :
Maka tuanlah juga tempat harapan hamba
Pada masa yang maut itu hadirkan hamba

Tuan itulah pula tempat harapan hamba

Pada masa yang syaitan itu fitnahkan hamba

Tuan itu pula tempat harapan hamba

Pada masa malaikat itu tanyakan hamba.
(Harun Mat Piah, hlm. 297)

v)        Ada nazam yang terbina dengan cara mengulang kata dalam / antara baris (kedudukan kata tidak mengikut pola tertentu).
         Contoh :
Maka maadat ia akan nisak yang mulia
Pada masa kecilnya serta sukakan dia.

Lagi bersunyi bagi diri yang mulia
Pada tempat yang sunyi pada Hira yang mulia.
(Harun Mat Piah, hlm.297)

vi)       Ada nazam terbina dengan jumlah perkataan yang tidak seimbang antara baris.
         Contoh :
Dan daripada Allah jua kuharap akan menunjuk (7)
kepada yang betulnya                                                 (3)
(Harun Mat Piah, hlm.298)

vii)    Unit minimum nazam ialah 1 rangkap (2 baris), unit maksimum tidak ditentukan.

                                    viii)    Pada peringkat awal, nazam diterjemahkan secara langsung (harafiah) daripada bahasa Arab-Parsi; oleh itu langgam bahasanya dipengaruhi langgam bahasa Arab-Parsi, dan hal ini juga mempengaruhi bentuk, struktur dan skima rima nazam. Hal ini demikian, kerana nazam menjadi alat untuk menyampaikan pengajaran agama Islam yang didatangkan dengan menggunakan bahasa Arab.


                                    xi)     Disampaikan dengan cara nyanyian bernasyid atau berzikir beramai-ramai di majlis keramaian agama misalnya perkahwinan, khatam Quran, berkhatan, Maulidul Rasul, Maal Hijrah, menyambut kelahiran, Maulud dan Hari Asyura.

                                    x)      Secara umumnya lagu nazam bercorak monotonus (senada) dari awal hingga akhir.

            3.5.2    Isi nazam

                              i)       Penceritaan kisah hidup & mukjizat Nabi Muhammad
ii)         Pengajaran ilmu tauhid / mengenal Allah dan Rasul
iii)        Pengajaran ilmu fiqah / hukum-hakam Islam
iv)       Pengajaran rukun Islam dan rukun iman

Dapatlah dirumuskan bahawa puisi Melayu tradisional seperti pantun, syair, gurindam, seloka, lagu rakyat dan nazam adalah pancaran nilai dan pemikiran masyarakat Melayu tradisional. Bentuk dan isi pemikirannya bukan sahaja berguna dalam konteks zamannya malah releven untuk setiap masa, ruang dan latar masyarakat Melayu atau Malaysia hari ini.

                        Contoh:

Kasih Ayah dan Ibu


Ibu mengandung sembilan bulan
Lebih dan kurang tak ditentukan
Lahirkan dikau berapa kesakitan
Berpantang pula minum dan makan

Cukuplah masa sampai ketika
Lahirlah engkau ke dalam dunia
Barulah suka ibu dan bapa
Kepada engkau sangat kasihnya

Harap ibumu bukan sedikit
Tinggilah harap darinya bukit
Lama ibumu merasa sakit
Sembilan bulan tidak berbangkit

Setelah kamu sudahlah ada
Siang dan malam ibumu jaga
Tidurpun tidak barang seketika
Makan dan minum tidak berasa

Berapalah dian dengannya tanglung
Diangkat dituam lalu dibedung
Sudahlah jaga lalu didukung
Kasih dan sayang tidak tertanggung

Tidaklah tentu siang dan malam
Bangun memangku di dalam kelam
Terkejut jaga di tengah malam
Tidurpun tidak lekat di tilam

(Disesuaikan : Warna Sari Sastera Melayu Tradisional hal. 367-370)



1 ulasan: